Rabu, 16 November 2016 | 10:48pm

Tentera New Zealand pindah 700 pelancong, penduduk

RUNTUHAN batuan besar yang menimbus lebuh raya di Kaikoura, New Zealand. - Foto AFP
RUNTUHAN batuan besar yang menimbus lebuh raya di Kaikoura, New Zealand. - Foto AFP

WELLINGTON: Pemimpin tentera New Zealand hampir selesai memindahkan lebih 700 pelancong dan penduduk dari sebuah bandar kecil tepi pantai, dua hari selepas gempa bumi kuat memutuskan laluan kereta api dan jalan raya.

Gempa bermagnitud 7.8 itu yang menyebabkan dua maut, mencetuskan tsunami kecil serta meruntuhkan batuan besar dan lumpur yang menimbus lebuh raya.

Komodor Udara Darryn Webb, Pemangku Komander untuk Pasukan Bersama New Zealand, berkata, seramai 380 orang dan tiga ekor anjing dimuatkan ke dalam sebuah kapal tentera laut.

Katanya, kapal itu berlepas petang tadi untuk perjalanan selama enam jam ke pelabuhan berhampiran Christchurch.

Terdahulu, pasukan tentera memindahkan 340 orang menggunakan helikopter sejak semalam.

Pelancong lain menyewa helikopter sendiri atau menggunakan pengangkutan udara yang disediakan kedutaan masing-masing.

Sebahagian daripada mereka memilih untuk tinggal sehingga jalan raya dibuka semula. - AP

Berita Harian X