Isnin, 14 November 2016 | 7:55am

Dua maut susulan gempa bumi di New Zealand

gn4id:17341163

Perdana Menteri New Zealand, John Key. - Foto Getty Image
Perdana Menteri New Zealand, John Key. - Foto Getty Image

CHRISTCHURCH, New Zealand: Pasukan penyelamat di New Zealand berusaha untuk sampai ke kawasan pusat gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang meragut dua nyawa dan mencetuskan amaran tsunami yang menyebabkan ribuan penduduk menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.

Gempa bumi itu, antara yang paling kuat pernah direkodkan di negara Pasifik Selatan itu, berlaku sejurus selepas tengah malam berhampiran bandar Kaikoura di Pulau Selatan.

Perdana Menteri, John Key, mengesahkan dua orang meninggal dunia dan berkata "kita tidak boleh menolak" angka kematian akan meningkat.

Seorang mangsa terbunuh di kawasan terpencil kira-kira 150 kilometer ke utara Christchurch manakala mangsa kedua maut apabila kediamannya di Kaikoura runtuh.

"Pada masa ini kami tidak dapat memberikan maklumat terperinci mengenai apa yang menyebabkan kematian berkenaan," kata Key sambil menambah masalah perhubungan menyukarkan untuk membuat perincian tepat.

Disebabkan jalan raya terhalang, sebuah helikopter membawa pasukan penyelamat ke Kaikoura di mana rakaman televisyen menunjukkan berlaku tanah runtuh yang besar dan sekurang-kurangnya sebuah rumah musnah.

Key berkata, helikopter tentera juga diarah meninjau kerosakan akibat gempa bumi itu. - AFP

Berita Harian X