Ahad, 23 Oktober 2016 | 10:03am

PBB gesa gencatan senjata di Yaman disambung

WAKIL khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Yaman, pada Sabtu menggesa gencatan senjata selama 72 jam diperbaharui. - Foto AFP
WAKIL khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Yaman, pada Sabtu menggesa gencatan senjata selama 72 jam diperbaharui. - Foto AFP

ADEN: Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Yaman, pada Sabtu menggesa gencatan senjata selama 72 jam diperbaharui, walaupun pertempuran meletus antara pemberontak Syiah dan tentera kerajaan di sebalik perjanjian itu.

Gencatan senjata berkuat kuasa sejurus sebelum tengah malam pada Rabu untuk membolehkan penghantaran bantuan ke Yaman, yang menyaksikan perang sudah meragut ribuan nyawa dan meninggalkan jutaan lagi kehilangan kediaman, dan berakhir secara rasmi tengah malam Sabtu.

"Dengan 72 jam Penamatan Permusuhan di Yaman bakal berakhir, Wakil Khas PBB bagi Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed menggesa semua pihak bersetuju dengan lanjutan bagi sekurang-kurangnya 72 jam lagi," menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Ahmed.

Ahmed berkata, gencatan senjata 'dipatuhi walaupun ada laporan pelanggaran daripada kedua-dua pihak di beberapa kawasan.'

"Kami sedar sejak beberapa hari lalu bekalan makanan dan kemanusiaan disampaikan ke beberapa kawasan penempatan terjejas dan kakitangan PBB boleh tiba di kawasan yang tidak boleh dimasuki sebelum ini.

"Kami menyasarkan jangkauan lebih luas beberapa hari lagi," katanya.

Walaupun gencatan senjata diadakan, pertempuran sengit tercetus antara pemberontak Houthi dan tentera prokerjaaan sepanjang sempadan dengan Arab Saudi sejak dua hari lalu.

Pesawat tempur tentera pakatan diketuai Arab Saudi yang menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi juga mengebom pelancar peluru berpandu Houthi di timur Sanaa lewat Jumaat.

Ia dilancarkan selepas peluru berpandu Patriot ditembak jatuh dua peluru berpandu pemberontak pada Khamis di Marib, timur ibu kota Yaman. - AFP

Berita Harian X