Khamis, 20 Oktober 2016 | 11:02am

Taufan Super badai utara Filipina

SEORANG lelaki berlindung dari ribut Super di Narvacan, Ilocos Sur, utara Filipina. - Foto AP
SEORANG lelaki berlindung dari ribut Super di Narvacan, Ilocos Sur, utara Filipina. - Foto AP

MANILA: Salah satu taufan paling kuat pernah melanda Filipina memusnahkan rumah, menerbangkan bumbung sekolah dan menumbangkan pokok besar pada Khamis, tetapi tiada laporan mengenai kematian diterima.

Taufan Super Haima membadai wilayah Cagayan di utara lewat malam Rabu dengan angin hampir menyamai Taufan Haiyan, yang menjadi ribut paling kuat melanda negara itu dan meragut 7,350 nyawa pada 2013.

Haima melanda seluruh gunung dan komuniti perladangan di wilayah utara kepulauan Luzon pada tengah malam dan menjelang pagi, ia berhadapan kemusnahan besar.

"Sawah dan ladang jagung musnah. Banyak rumah musnah. Saya melihat satu bangunan sekolah ranap di bawah sebatang pokok besar," kata pensyarah universiti di Ilagan, Villamor Visaya.

Haima membadai bandar pesisiran pantai berhadapan Lautan Pasifik dengan kekuatan angin 225 kilometer sejam, dan bertiup sehingga 315 kilometer sejam.

Ia semakin lemah pada tengah malam ketika melanda wilayah pergunungan dan menjelang jam 9.00 malam waktu tempatan pada Khamis, meninggalkan Luzon dan menuju ke selatan China.

Datuk Bandar Tuguegarao, Jefferson Soriano, melaporkan sekolah dan gimnasium yang dijadikan tempat perlindungan oleh orang ramai rosak teruk.

"Mereka meminta bantuan kerana bumbung tercabut. Masalahnya, penyelamat tidak dapat keluar dan membantu," kata Soriano kepada radio DZMM. - AFP

Berita Harian X