Khamis, 20 Oktober 2016 | 9:55am

Putin sedia lanjut gencatan di Aleppo

PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto EPA
PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto EPA

BERLIN: Presiden Vladimir Putin bersedia memanjangkan gencatan senjata di Aleppo selepas rundingan di Berlin menyaksikan pemimpin Jerman dan Perancis tidak mengenepikan idea mengenakan sekatan terhadap Moscow.

Putin memberitahu pemimpin Eropah bahawa Russia 'berhasrat melanjutkan' penggantungan serangan udara selama yang boleh di bandar raya itu, dalam usaha membolehkan penduduk awam dan pemisah meninggalkan Aleppo.

Pengakuan dibuat ketika Presiden Francois Hollande mengecam pengeboman itu sebagai 'jenayah perang' dan Canselor Jerman, Angela Merkel, menggambarkan ia sebagai 'tidak berperikemanusiaan dan kejam.'

Pemimpin kedua-dua ekonomi terbesar Eropah itu juga tidak menolak ancaman sekatan, beberapa jam menjelang sidang kemuncak Kesatuan Eropah (EU), yang menyaksikan peranan Russia di Syria akan dibincangkan.

Pemberhentian serangan Russia dan Syria di Aleppo berlanjutan pada hari kedua pada Rabu, menjelang gencatan senjata dua hala yang dijangka bermula pada jam 8.00 malam waktu tempatan pada Khamis.

Menjelang rundingan di Berlin, Moscow mengumumkan ia akan memanjangkan gencatan senjata daripada lapan kepada 11 jam.

Namun pelan itu mencetuskan skeptisme di Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ia tidak mencukupi untuk membolehkan bantuan kemanusiaan tiba kepada penduduk di Aleppo. - AFP

Berita Harian X