Rabu, 19 Oktober 2016 | 8:59am

Misi bantuan guna helikopter ke Haiti ditamat

HELIKOPTER tentera Amerika Syarikat (AS) digunakan dalam bantuan kemanusiaan di Haiti selepas Taufan Matthew. - Foto AFP
HELIKOPTER tentera Amerika Syarikat (AS) digunakan dalam bantuan kemanusiaan di Haiti selepas Taufan Matthew. - Foto AFP

WASHINGTON: Helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan bantuan kemanusiaan di Haiti selepas Taufan Matthew, dilaporkan sudah melengkapkan misi dan mungkin pulang dalam beberapa hari lagi.

Pentagon menghantar kira-kira 10 helikopter tentera dan Marine Corps bagi membantu penghantaran bantuan, namun memandangkan keadaan semakin baik, penghantaran bantuan dapat dilakukan menggunakan jalan raya.

"Oleh kerana jumlah barang dapat digerakkan menerusi jalan raya sudah meningkat, bilangan permintaan kami untuk menggerakkan bantuan itu kini semakin berkurangan," kata Laksamana Kurt Tidd yang mengetuai tentera AS Southern Command.

"Jadi adalah wajar bagi kita untuk menarik balik dan membolehkan organisasi yang terdapat di sana berada bagi jangka panjang untuk mengambil alih tanggungjawab itu," katanya.

Difahamkan helikopter AS bergerak keluar dari lapangan terbang di Port-au-Prince di mana kira-kira 400 tentera dikerahkan bagi tujuan misi bantuan itu.

Operasi udara tambahan akan dilakukan oleh kapal penyerang amfibia, USS Iwo Jima yang sudah tiba di wilayah itu.

Sekurang-kurangnya 546 orang dilaporkan maut manakala 175,000 lagi hilang tempat tinggal selepas Taufan Matthew membadai Haiti pada 4 Oktober lalu dengan membawa angin berkekuatan sehingga 230 kilometer sejam. - AFP

Berita Harian X