Khamis, 29 September 2016 | 12:16am

Ribuan kakitangan kompleks percetakan al-Quran Madinah diberhentikan

 KOMPLEKS Percetakan Al-Quran Raja Fahd..
KOMPLEKS Percetakan Al-Quran Raja Fahd..

MADINAH: Lebih 1,300 pekerja kontrak di Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd, di sini menerima notis pemberhentian, semalam.

Menurut salinan notis diperoleh Saudi Gazette, kakitangan terbabit diminta menghubungi Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Syarikat Saudi Oger Co bagi melengkapkan prosedur penamatan perkhidmatan.

Kakitangan yang diberhentikan diarah mendaftar nama mereka dengan program Saned daripada Pertubuhan Awam untuk Insurans Sosial (GOSI) bagi mendapatkan elaun bulanan sehingga mendapat kerja baharu.

Menurut notis itu, kontrak kakitangan berkenaan ditamatkan berkuat kuasa 3 September lalu.

Notis penamatan itu mengejutkan kebanyakan pekerja yang masih berusaha menuntut hak mereka susulan kelewatan pembayaran gaji dan elaun sejak beberapa bulan lalu.

Kebanyakan pekerja mendapatkan khidmat peguam menuntut hak mereka seandainya syarikat gagal memenuhi kewajipan kontrak mereka.

Tuntutan utama mereka adalah supaya perkhidmatan mereka dipindahkan ke Kementerian Bimbingan dan Hal Ehwal Islam.

Kementerian itu, baru-baru ini dikatakan membuka tawaran kepada syarikat berkelayakan bagi mengendalikan kompleks selepas penamatan kontrak dengan Arab Oger.

Kebanyakan kakitangan yang diberhentikan, telah berkhidmat lama di kompleks berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X