Isnin, 26 September 2016 | 8:03am

Pemimpin pemberontak Yaman cadang gencatan senjata

KEPULAN asap dan bebola api kelihatan di kawasan yang dipercayai pemberontak Houthi, selepas dibedil dalam serangan udara oleh Arab Saudi di Yaman, pada Ahad. - Foto EPA
KEPULAN asap dan bebola api kelihatan di kawasan yang dipercayai pemberontak Houthi, selepas dibedil dalam serangan udara oleh Arab Saudi di Yaman, pada Ahad. - Foto EPA

SANAA: Pemimpin pemberontak Houthi di Yaman, pada Ahad, mencadangkan gencatan senjata di sempadan negara itu dengan Arab Saudi sebagai pertukaran menghentikan serangan ke atas tenteranya yang dilancarkan pasukan antarabangsa diketuai Riyadh.

Cadangan itu, berkebetulan dengan peningkatan pertempuran selepas rundingan damai digantung bulan lalu, disuarakan Salah al-Sammad, ketua majlis baru yang dilantik pemberontakan dan sekutu mereka untuk mentadbir negara berkenaan.

Sammad menggesa Arab Saudi menghentikan pencerobohan laut, udara dan darat, menghentikan serangan udara dan menarik balik sekatan ke atas Yaman sebagai pertukaran menamatkan operasi ketenteraan di sempadan dan pelancaran peluru berpandu ke wilayah Arab Saudi, katanya dalam ucapan yang disiarkan di laman web sabanews.

Sammad, yang pergerakannya tidak diiktiraf komuniti antarabangsa, juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan negara yang cintakan keamanan supaya mengenakan tekanan ke atas rejim Arab Saudi untuk menerima tawaran itu.

Beliau turut mencadangkan pengampunan bagi individu yang menyebelahi pasukan antarabangsa, merujuk kepada mereka yang menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Pemberontak Houthi bersekutu dengan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh.

Mereka menawan ibu negara Yaman, Sanaa, pada lewat 2014 sebelum bergerak ke bahagian lain negara itu.

Pada Mac 2015, Arab Saudi membentuk pasukan pakatan Arab untuk memulakan serangan udara dan sokongan di darat ke pada tentera yang setia kepada Hadi, yang mendapatkan perlindungan di Riyadh. - AFP

Berita Harian X