Ahad, 17 Julai 2016 | 7:11am

Serangan udara di Aleppo, 28 maut

SEORANG lelaki melihat bangunan yang musnah selepas dibedil dalam serangan udara di Aleppo, semalam. - Foto Reuters
SEORANG lelaki melihat bangunan yang musnah selepas dibedil dalam serangan udara di Aleppo, semalam. - Foto Reuters

ALEPPO: Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh, termasuk kanak-kanak dalam serangan udara di bandar kedua Aleppo yang dikuasai pemberontak, lapor pemerhati semalam.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan, jumlah kematian akibat serangan bom tangan dijangka meningkat dalam serangan yang menggegarkan bandar terbabit.

"Sebelas orang awam termasuk empat kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara selepas waktu tengah malam di kawasan Bab al-Nasr, Aleppo, dan tujuh lagi terbunuh di kawasan kejiranan Fardous," kata pemerhati.

Sementara itu, di Daerah Salhin sekurang-kurangnya enam terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dan dua wanita.

Serangan di kawasan kejiranan lain di bawah kekuasaan pemberontak turut membunuh empat orang awam.

Kumpulan pemerhati yang bergantung dengan sumber rangkaian di seluruh Syria untuk mendapatkan maklumat berkata, serangan udara itu dipercayai dilakukan antara Russia atau regim tentera pakatan.

"Sekurang-kurangnya 20 orang lagi masih terperangkap di bawah sisa runtuhan," kata Ketua Kumpulan Pemerhati, Rami Abdel Rahman. - AFP

Berita Harian X