Khamis, 14 Julai 2016 | 11:24pm

Militan IS tembak jatuh jet pejuang Syria

BEIRUT: Militan Kumpulan Negara Islam (IS) menembak jatuh sebuah jet pejuang Syria di bandar timur Deir al-Zor hari ini, kata kumpulan pemantau dan agensi dikaitkan dengan kumpulan radikal itu.

Agensi Amaq mengeluarkan rakaman video menunjukkan bangkai pesawat terbakar dan berselerak di kawasan berbatu serta mayat berpakaian seragam dan topi keledar putih, digantung di jalanan.

Laporan itu juga menyebut, mayat yang ditemui adalah juruterbang pesawat terbabit.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, militan IS menyasar pesawat itu di bukit Thardah, kira-kira lima kilometer di barat daya lapangan terbang tentera Deir al-Zor.

Militan IS mengawal kebanyakan wilayah timur Deir al-Zhor, walaupun tentera rejim Presiden Bashar al-Assad mengawal lapangan terbang dan sebahagian bandar itu di sepanjang Sungai Euphrates. - Reuters

Berita Harian X