Rabu, 13 Julai 2016 | 8:48am

Tragedi kren Makkah: Perbicaraan dijangka bermula

RIYADH: Tertuduh termasuk jurutera dan dua kakitangan kerajaan akan dibicarakan di Arab Saudi berikutan kematian 107 orang dalam insiden sebuah kren tumbang di Masjidil Haram dekat Makkah tahun lalu, lapor sebuah akhbar tempatan semalam.

Akhbar berbahasa Arab, Al-Riyadh memetik sumber sebagai berkata, siasatan selama lapan bulan oleh pihak penyiasat dan pendakwaan selesai termasuk menyoal siasat beberapa suspek.

"Mahkamah sedang dalam proses menentukan tarikh pertama perbicaraan selepas hakim mengkaji kes itu," kata Al-Riyadh.

Mereka yang didakwa termasuk jurutera dan dua pegawai kerajaan di Makkah, tetapi tidak menyatakan pertuduhan atau berapa ramai yang akan menghadapi perbicaraan.

Kerajaan dengan pantas menggantung projek pembinaan gergasi pembesaran masjid berkenaan kendalian syarikat kontraktor utama, Saudi Binladin Group, daripada mendapatkan kontrak baru dan mengenakan larangan perjalanan ke atas eksekutif kanannya, tetapi kemudiannya ditarik balik.

Sebagai antara syarikat kontraktor terbesar di negara itu, Saudi Binladin Group yang diasaskan lebih daripada 80 tahun lalu, bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja menaik taraf Masjidil Haram. - AGENSI

Berita Harian X