Sabtu, 21 Mei 2016 | 10:28am

2 maut, 106 cedera dalam tunjuk perasaan di Baghdad

Penunjuk perasaan antikerajaan melontar kembali gas pemedih mata yang ditembak pasukan keselamatan Iraq dalam pertempuran selepas menyerbu masuk ke kubu Zon Hijau Baghdad. - Foto AFP
Penunjuk perasaan antikerajaan melontar kembali gas pemedih mata yang ditembak pasukan keselamatan Iraq dalam pertempuran selepas menyerbu masuk ke kubu Zon Hijau Baghdad. - Foto AFP

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya dua maut manakala 106 lagi cedera, lima daripadanya serius apabila penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan Iraq.

Pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menembak ke udara apabila ratusan penunjuk perasaan antikerajaan menyerbu masuk ke Zon Hijau yang dikawal ketat.

Sebahagian penunjuk perasaan, kebanyakannya penyokong ulama Syiah berpengaruh, Muqtada al-Sadr, cedera ketika orang ramai bergegas ke pejabat Perdana Menteri dan Bangunan Parlimen.

Keganasan memaksa Perdana Menteri, Haider al-Abadi melaksanakan perintah berkurung di ibu negara tetapi ditarik balik beberapa jam kemudian.

Menjelang petang, tiada lagi penunjuk perasaan berkumpul di Zon Hijau.

Terdahulu, orang ramai terutama lelaki muda berkumpul di luar tembok Zon Hijau, dengan bilangan yang semakin bertambah.

Keadaan itu memaksa pasukan keselamatan mengharungi penunjuk perasaan dengan berjalan kaki, melepas tembakan gas pemedih mata dalam usaha menjarakkan mereka dengan pintu pagar.

Keganasan segera menular. Penunjuk perasaan yang berjaya memasuki Zon Hijau menuju ke pejabat Perdana Menteri dan Bangunan Parlimen.

Wartawan Associated Press di lokasi melihat beberapa penunjuk perasaan cedera teruk dan seorang ditembak di kepala.

Pejabat media al-Sadr menyatakan dua penunjuk perasaan maut dalam pertempuran. Hospital dan polis berkata sekurang-kurangnya 106 cedera, lima daripadanya serius. - AP

Berita Harian X