Khamis, 21 April 2016 | 1:38pm
ANTARA kuari di Beit Fajar, Tebing Barat yang sudah dikosongkan selepas diserbu ratusan tentera Israel. - Foto AP
ANTARA kuari di Beit Fajar, Tebing Barat yang sudah dikosongkan selepas diserbu ratusan tentera Israel. - Foto AP

Israel tutup kuari Palestin, jejas ekonomi penduduk

BEITFAJAR: Masa depan Beit Hajar Palestin malap selepas tentera Israel menutup berpuluh-puluh kuari di kawasan itu, sekali gus mengancam nasib 3,500 pekerja dan melumpuhkan industri setempat itu.

Pemilik kuari Palestin dan peguam mereka berkata, serbuan pada 21 Mac di kuari mereka membabitkan beratus-ratus tentera Israel serta tindakan merampas jentera bernilai jutaan dolar adalah bersamaan hukuman ke atas masyarakat setempat.

Serbuan itu dilakukan empat hari selepas dua penduduk Beit Fajar menikam dan mencederakan seorang tentera Israel.

Nasib kuari itu turut mencerminkan polisi Israel yang memihak perniagaan penempatan haram Yahudi di wilayah Tebing Barat yang dijajahi berbanding warga Palestin, menurut Human Rights Watch (HRW) yang berpangkalan di New York.

Israel tidak mengeluarkan lesen baharu ke atas kuari dikendalikan warga Palestin di Tebing Barat sejak 1994, sebaliknya memberikan permit operasi kepada 11 kuari dikendalikan warga Israel di kawasan itu.

Menurut HRW, kuari dikendalikan Yahudi menghasilkan 25 peratus bahan kuari untuk Israel dan ekonomi penempatan haram itu dan ia jelas eksploitasi sumber asli di wilayah yang diduduki.

Ketua Kesatuan Pengeluar Batu dan Marmar di Palestin, Subhi Thawabteh, berkata:

"Saya merasakan Israel menyerang ekonomi Palestin. Ini sebahagian daripada tekanan Israel kepada warga Palestin. Mereka mahu kami meninggalkan tanah air dan memenuhinya dengan peneroka haram Yahudi." - AP

Berita Harian X