Selasa, 22 March 2016 | 10:03am

Atendan penerbangan tinggalkan beg berisi 30kg kokain

PIHAK berkuasa menemui 30 kilogram kokain.
PIHAK berkuasa menemui 30 kilogram kokain.

LOS ANGELES: Seorang atendan penerbangan melarikan diri apabila dipilih menjalani imbasan secara rawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles, menyebabkan begnya digeledah dan tidak disangka pihak berkuasa menemui 30 kilogram kokain.

Wanita berkenaan, yang tiba di terminal pada Jumaat untuk bertugas, meninggalkan begnya sebelum melarikan diri, kata Ejen Khas Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA), Timothy Massino.

DEA enggan memberi ulasan lanjut mengenai kes itu ketika siasatan masih dijalankan.

Sumber penguat kuasa undang-undang berkata, atendan penerbangan itu dikenal pasti penyiasat tetapi tidak ditahan sehingga Isnin.

Pihak berkuasa tidak memberitahu beliau bekerja untuk syarikat penerbangan mana dan ada percanggahan laporan media mengenai perkara itu.

Laporan NBC News dalam laman webnya menyatakan wanita berkenaan lari dari terminal selepas membuat panggilan dalam bahasa yang tidak difahami pegawai dan meninggalkan sepasang kasut berjenama ketika melarikan diri menggunakan eskalator. - REUTERS

Berita Harian X