Selasa, 22 March 2016 | 12:59am

Pertempuran di Yaman bakal berakhir - Arab Saudi

Brig Jeneral Ahmed al-Asseri
Brig Jeneral Ahmed al-Asseri

RIYADH: Arab Saudi bakal menamatkan kempen ketenteraan menentang pemberontak Houthi disokong Iran di Yaman, setahun selepas ia dilancarkan.

Jurucakap tentera pakatan diketuai Arab Saudi, Brig Jeneral Ahmed al-Asseri, dipetik saluran televisyen al-Arabiya sebagai berkata, pertempuran besar-besaran di negara itu hampir menemui penamatnya sejak kempen ketenteraan bermula setahun sebelumnya.

"Pertempuran besar-besaran di Yaman hampir tamat dan fasa seterusnya adalah peringkat memulihkan kestabilan dan membina semula negara itu," katanya kepada saluran berkenaan.

Al-Arabiya bagaimanapun tidak memberi perincian lanjut dan Asseri gagal dihubungi untuk mengulas.

Pertempuran di dua barisan hadapan di Yaman, di sepanjang sempadan dengan Arab Saudi dan bandar Taiz, semakin tenang minggu ini susulan perbincangan puak tempatan dan rundingan sulit bagi mencari perdamaian.

Tentera pakatan memulakan kempen ketenteraan setahun lalu dengan misi utama menghentikan kemaraan Houthi dan tentera yang setia kepada bekas Presiden Ali Abdullah Saleh daripada menguasai negara itu. Ia bagi mengembalikan kuasa Presiden Abed Rabbu Mansour Hadi.

Asseri dan Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir sebelum ini berkata, sebarang rundingan damai hanya boleh dilakukan antara Hadi dan Houthi serta wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ismail Ould Cheikh Ahmed.

April tahun lalu Asseri mengumumkan operasi awal pakatan tamat, mengatakan ia sudah "membersihkan kebanyakan keupayaan tentera militia Houthi dan sekutunya yang memberi ancaman kepada Yaman dan negara jiran."

Bagaimanapun, pertempuran semakin hebat ketika pakatan menambah kumpulan kecil tentera darat bagi menyokong pejuang Yaman disokong kempen udara dipertingkat.

Pakatan mengambil alih bandar kedua Yaman di Aden dari Houthi dan tentera Saleh Julai tahun lalu, bandar timur laut di Marib September lalu dan pelabuhan kecil barat laut di Midi tahun ini.

PBB berkata, lebih 6,000 rakyat Yaman, separuh daripadanya orang awam, maut dalam pertempuran dan serangan udara sejak tahun lalu manakala jutaan rakyatnya kehilangan tempat tinggal. - Reuters

Berita Harian X