Khamis, 10 March 2016 | 11:15pm

Tentera Lubnan bertempur dengan militan, 9 maut

BEIRUT: Seorang askar maut manakala lapan lelaki bersenjata terbunuh dalam pertempuran antara tentera Lubnan dengan militan di timur laut negara itu, berhampiran sempadan Syria hari ini, kata pegawai keselamatan.

Seorang pegawai yang enggan dikenali berkata, pertempuran berlaku "antara pengganas dan tentera Lubnan" pada jam 3 pagi (0100 GMT), hari ini berhampiran bandar Ras Baalbek.

Katanya, tidak dapat dipastikan kumpulan militan mana yang bertempur dengan tentera Lubnan.

Katanya, kawasan serangan itu dalam keadaan "tenang" dan lapan anggota tentera yang cedera menerima rawatan di hospital berhampiran.

Lubnan menyaksikan peningkatan serangan ganas termasuk pengeboman maut dan pertempuran antara kumpulan jihad dan tentera, sejak perang meletus di negara jirannya Syria tahun 2011. - AFP

Berita Harian X