Isnin, 4 Januari 2016 | 12:10pm

Dua maut susulan gempa bumi India

PETA yang dikeluarkan oleh USGS menunjukkan lokasi gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang menggegarkan timur laut Imphal di India. - Foto EPA
PETA yang dikeluarkan oleh USGS menunjukkan lokasi gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang menggegarkan timur laut Imphal di India. - Foto EPA

GUWAHATI: Sekurang-kurangnya dua terkorban dalam gempa bumi kuat berukuran 6.8 magnitud yang menggegarkan timur laut Imphal di India, berdekatan sempadan Myanmar dan Bangladesh hari ini.

Polis berkata, seorang lelaki mati di Imphal, lokasi paling dekat dengan pusat gempa, manakala seorang lagi dilaporkan mati di Bangladesh akibat serangan jantung.

Berpuluh lagi cedera ketika berasak-asak untuk menyelamatkan diri dari bangunan di India dan Bangladesh selepas dikejutkan oleh gegaran gempa bumi pada awal pagi.

Polis Dhaka menyatakan, 40 orang sedang dirawat di hospital utama di ibu kota Bangladesh, termasuk seorang penuntut universiti yang terjun dari balkoni tingkat empat sebuah bangunan dan dilapor dalam keadaan kritikal.

Sehubungan itu, seorang penduduk Imphal, Deepak Shijagurumayum berkata, rumahnya mengalami kerosakan teruk akibat kejadian gempa bumi kuat itu.

"Semua orang sedang tidur ketika kejadian dan tercampak dari tempat tidur mereka," kata Shijagurumayum kepada AFP.

Gegaran turut dirasai sejauh Kolkata kira-kira 600 kilometer jaraknya daripada negeri Bengal Barat, India. - AFP

Berita Harian X