Isnin, 28 Disember 2015 | 12:02pm

Puting beliung di AS, angka korban melonjak 43

ANGKA kematian akibat ribut petir yang melanda selatan dan tengah Amerika Syarikat (AS) sepanjang cuti Krismas menyebabkan banjir dan puting beliung meningkat kepada 43 orang. - Foto AFP
ANGKA kematian akibat ribut petir yang melanda selatan dan tengah Amerika Syarikat (AS) sepanjang cuti Krismas menyebabkan banjir dan puting beliung meningkat kepada 43 orang. - Foto AFP

DALLAS: Angka kematian akibat ribut petir yang melanda selatan dan tengah Amerika Syarikat (AS) sepanjang cuti Krismas menyebabkan banjir dan puting beliung meningkat kepada 43 orang.

Angin kuat merosakkan bangunan dan jutaan kenderaan terperangkap dalam kesesakan ketika ramai warga keluar untuk bercuti.

Cuaca buruk itu mendorong Gabenor Missouri dan New Mexico mengisytiharkan darurat bagi negeri masing-masing.

Di Missouri dan Illinois, banjir kilat mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.

Gabenor Missouri, Jay Nixon berkata, petugas kecemasan memindahkan penduduk daripada kediaman mereka dan melancarkan puluhan misi menyelamat.

Katanya sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan beberapa jalan raya sudah ditutup.

Nixon turut mengisytiharkan darurat sambil menyifatkan hujan berterusan boleh menyebabkan lebih banyak kawasan banjir dan keadaan menjadi semakin buruk.

Sementara itu di timur St. Louis, Missouri, tiga orang dewasa dan dua kanak-kanak yang berada di dalam kenderaan mereka dihanyutkan air pada malam Sabtu lalu.

Manakala di Texas, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh akibat puting beliung bertiup sekuat 322 kilometer sejam. Ia turut melanda bandar Garland dan membunuh lapan orang menyebabkan kenderaan tersadai di tepi lebuh raya. - Reuters

Berita Harian X