Jumaat, 11 Disember 2015 | 7:33am

6 negara Teluk kenakan VAT kepada penduduk

DUBAI: Enam negara Teluk akan memperkenalkan cukai nilai tambah (VAT) kepada penduduk masing-masing, buat pertama kalinya dalam sejarah.

Negara Kerjasama Teluk (GCC) membabitkan Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju memperkenalkan VAT berikutan kempen ketenteraan yang membabitkan kos yang tinggi serta penurunan harga minyak global.

Arab Saudi sudah menarik kembali berpuluh-puluh bilion dolar dana pelaburan global dalam cubaannya mengurangkan defisit bajet.

Namun, ia tetap melaksanakan polisi luar agresif, menyokong tentera antikerajaan di Syria dan menerajui kempen ketenteraan sudah masuk lapan bulan menentang pemisah disokong Iran di Yaman.

Harga minyak susut hampir AS$40 (RM170.22) satu tong minggu ini, paras terendah sejak krisis kewangan terbaru.

Majlis itu mengumumkan sasaran melaksanakan cukai VAT dalam tempoh tiga tahun lagi.

Penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan sosial dan 94 jenis makanan akan dikecualikan.

Untuk mengehadkan penyeludupan dan meningkatkan tahap kompetitif, semua negara terbabit merancang melaksanakan cukai itu secara serentak. - AGENSI

Berita Harian X