Selasa, 8 Disember 2015 | 11:53am

Syor gencatan senjata di Yaman mulai 15 Disember

UTUSAN Bangsa-Bangsa Bersatu ke Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed (kiri) bertemu Dengan Yaman Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi di bandar pelabuhan selatan Yaman Aden.- Foto REUTERS
UTUSAN Bangsa-Bangsa Bersatu ke Yaman, Ismail Ould Cheikh Ahmed (kiri) bertemu Dengan Yaman Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi di bandar pelabuhan selatan Yaman Aden.- Foto REUTERS

NEW YORK: Yaman hari ini meminta tentera pakatan diketuai Arab Saudi memulakan gencatan senjata tujuh hari mulai 15 Disember ini bagi memberi laluan kepada rundingan yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke arah menamatkan konflik di negara itu.

Perkara itu dinyatakan Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi dalam suratnya kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.

"Saya memaklumkan bahawa ketua pakatan mahu memulakan gencatan senjata selama tujuh hari bermula 15 hingga 21 Disember ini sempena perundingan berkenaan," katanya hari ini

Salinan surat Hadi kepada Ban juga turut dihantar kepada Majlis Keselamatan PBB dan disahkan sendiri oleh Wakil Khas Yaman ke PBB, Ismail Ould Cheikh Ahmed.

Beliau berkata, kerajaan dalam buangan Yaman diketuai Hadi bersetuju dengan proses damai yang ditaja oleh Majlis Keselamatan yang diputuskan April lalu.

Hadi juga berharap wakil khas PBB ke Yaman menerima jaminan daripada pemberontak Houthi untuk menghormati perjanjian itu atau berdepan dengan tindakan tentera pakatan sekiranya mencabul gencatan.

Tentera yang setia dengan Hadi dan disokong oleh tentera pakatan terutama dari Teluk Arab terbabit hampir sembilan bulan dalam peperangan saudara dengan kumpulan Houti yang kini menguasai ibu negara, Sanaa dan beberapa bandar lain.

Konflik yang melanda Yaman sehingga kini sudah meragut lebih 6,000 nyawa penduduknya. - AFP

Berita Harian X