Selasa, 27 Oktober 2015 | 5:35pm

Penyelamat berdepan kesukaran mencari mangsa gempa Pakistan-Afghanistan

KEADAAM rumah yang musnah akibat gempa bumi di Afghanistan. - Foto AP
KEADAAM rumah yang musnah akibat gempa bumi di Afghanistan. - Foto AP

ISLAMABAD: Pasukan penyelamat terpaksa menempuh laluan berbukit serta pergunungan selain perlu melalui kawasan dikuasai kumpulan militan Taliban dalam misi menyelamat mangsa, susulan gempa bumi 7.5 magnitud melanda Pakistan dan Afghanistan semalam.

Setakat ini angka korban akibat bencana itu sudah meningkat kepada 300 orang. Jumlah kematian dijangka terus meningkat berikutan kesukaran pasukan menyelamat memasuki kawasan pedalaman yang terputus hubungan dan komunikasi, selain tanah runtuh yang turut menumbangkan banyak bangunan.

Seorang pegawai polis di bandar Peshawar, di barat laut Pakistan memberitahu, mereka tidak mampu untuk berhubung dengan pihak berkuasa di daerah Kohistan di Khyber Pakhtunkhwa, bagi melihat keadaan penduduk daerah itu yang berjumlah hampir setengah juta orang.

"Tidak ada cara untuk berkomunikasi dengan pegawai di Kohistan, sistem komunikasi terganggu dan jalan raya tersekat. Jadi kita tidak boleh menjangkakan mengenai keadaan kerosakan di sana," kata pegawai itu.

Di kawasan pedalaman, penduduk tempatan termasuk kanak-kanak memulakan kerja-kerja menyelamat, ramai daripada mereka membantu menggali runtuhan bagi mencari mangsa terselamat.

Sebahagian besar mangsa yang maut ekoran gempa itu direkodkan di Pakistan iaitu 228 orang, termasuk 184 di wilayah Khyber Pakhtunkhwa dengan lebih daripada 1,600 mangsa cedera, kata pihak berkuasa pengurusan bencana negara itu.

Helikopter tentera Pakistan juga mula memindahkan mangsa ke Peshawar dan Rawalpindi.

Pihak tentera juga sudah menghantar pasukan perubatan dan khemah ke kawasan terjejas, manakala kerajaan India turut menyatakan kesediaannya untuk membantu.

Gempa bumi terbaru itu turut mengembalikan trauma kepada penduduk di negara terbabit selepas gempa 7.6 magnitud membunuh lebih 75,000 orang pada Oktober 2005.

Sementara itu, pegawai Afghanistan berkata, sekurang-kurangnya 76 orang disahkan maut dan beratus lagi cedera, dengan rekod kematian dicatatkan di enam daripada 34 wilayah di negara itu, manakala kira-kira 4,000 rumah dilaporkan rosak.

Kerajaannya sudah merayu agensi menyelamat untuk menyalurkan bantuan.

Bagaimanapun, sebahagian besar kawasan di Badakhshan, iaitu wilayah terpencil yang menempatkan pusat gempa itu serta kawasan lain yang dikawal militan Taliban, menimbulkan cabaran besar kepada usaha bantuan rasmi. - AFP

Berita Harian X