Sabtu, 12 September 2015 | 4:17pm

MUIS sahkan jemaah Singapura selamat - Kementerian Luar

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengesahkan bahawa jemaah haji Singapura terselamat dari tragedi kren runtuh di Masjidil Haram di Makkah, kata Kementerian Luar (MFA).

Insiden pada semalam itu mengakibatkan 107 jemaah terkorban dan beratus yang lain cedera.

Sebagai menjelaskan pertanyaan media, jurucakap MFA berkata: "Wakil MUIS kita di Makkah mengesahkan bahawa jemaah Singapura di bawah jagaan mereka adalah selamat".

Setakat ini, jurucakap itu berkata tidak ada laporan rakyat Singapura cedera.

MFA berkata ia akan terus menghubungi rakyat Singapura di Arab Saudi dan memantau perkembangan.

"Kami amat terkejut dan sedih mendengar kemalangan tragik di Masjidil Haram di Makkah. Kami ingin menyampaikan takziah kepada rakyat dan Kerajaan Arab Saudi serta keluara mangsa," kata jurucakap itu.

Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsulat boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Riyadh atau Konsul Besar Singapura di Jeddah atau Pegawai Bertugas MFA (24-jam).

- BERNAMA

Berita Harian X