Khamis, 3 September 2015 | 12:20am

Pangsapuri terbakar di Paris: Seorang lelaki 30-an ditahan

ANGGOTA polis berkawal di lokasi kebakaran. - Foto AFP
ANGGOTA polis berkawal di lokasi kebakaran. - Foto AFP

PARIS: Polis Perancis menahan seorang lelaki selepas lapan mangsa, termasuk dua kanak-kanak terbunuh dalam satu kebakaran di sebuah pangsapuri, di sini, hari ini.

Lebih 100 anggota bomba dikerah untuk memadam kebakaran yang berlaku di daerah ke-18 ibu negara itu, di kaki bukit Montmartre terkenal sebagai kawasan tarikan pelancong.

Menurut sumber pejabat pendakwa raya di sini, polis menahan seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an berikutan kejadian itu tetapi menegaskan siasatan masih di peringkat awal.

Sumber menambah, penahanan dibuat berikutan keterangan saksi yang melihat insiden itu dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Seorang cef pastri, Tissem Ferjani, yang menetap di jalan sama berkata, beliau nampak mayat bergelimpangan selepas penduduk melompat keluar untuk menyelamatkan diri daripada api yang marak.

"Saya terbangun sekitar jam 4.00 pagi (waktu tempatan) kerana terdengar suara orang meminta tolong. Mereka tiada pilihan, sama ada terus menunggu untuk mati (terbakar) atau melompat menerusi tingkap dan jatuh. Semua di kawasan itu keluar untuk membantu mangsa," katanya. - AFP

Berita Harian X