Rabu, 29 Julai 2015 | 2:28pm
Helikopter tentera Laos. - Gambar hiasan
Helikopter tentera Laos. - Gambar hiasan

20 dikhuatiri hilang selepas helikopter tentera terhempas di Laos

BANGKOK: Lebih 20 penumpang hilang selepas sebuah helikopter tentera di Laos terhempas akibat cuaca buruk awal minggu ini, demikian menurut kenyataan pihak berkuasa di sini, hari ini.

Kementerian Pertahanan berkata, nahas itu berlaku selepas 1 tengah hari (waktu tempatan) pada Isnin, ketika helikopter berkenaan dalam perjalanan ke wilayah timur laut Xiangkhouang dan Houaphanh, lapor agensi berita rasmi Laos, KPL.

"Helikopter itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Penerbangan tidak lama selepas ia meninggalkan Bandar Vientiane dengan empat anak kapal dan 19 penumpang," menurut laporan itu.

Pasukan penyelamat dikerah ke lokasi kejadian sementara carian udara dibatalkan berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Sementara itu, Kementerian Luar Laos masih belum memberi maklum balas mengenai insiden itu.

Negara komunis itu terkenal dengan sejarah keselamatan udara yang teruk dengan kedua-dua sektor awam dan tentera mengalami kemalangan maut baru-baru ini.

Pada Oktober 2013, kapal terbang awam yang dikendalikan Laos Airlines terjunam ke dalam Sungai Mekong berikutan cuaca buruk, membunuh semua 49 penumpang.

Pada Mei lalu, pesawat tentera terhempas ketika dalam perjalanan ke wilayah Xiangkhouang, meragut nyawa lima pegawai kanan termasuk Menteri Pertahanan negara itu. - AFP

Berita Harian X