PARIS: Polis Perancis mengesahkan sudah mengenal pasti tiga lelaki sebagai suspek melakukan serangan ke atas akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo yang mengorbankan 12 nyawa semalam.
Pegawai polis menamakan suspek sebagai Said Kouachi dan Cherif Kouachi, iaitu warga Perancis yang berumur lingkungan awal 30-an manakala seorang lagi berusia 18 tahun dikenali sebagai Hamyd Mourad yang kerakyatannya belum disahkan.
Seorang pegawai polis berkata, suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Yaman.
Cherif Kouachi pernah dituduh atas dakwaan membantu pejuang Iraq pada 2008 dan dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan.
Setakat ini belum ada tangkapan dibuat dalam operasi pemburuan besar-besaran di seluruh Perancis.
Ia adalah serangan berdarah paling buruk di Perancis sejak setengah abad lalu. - AP