Rabu, 19 November 2014 | 9:58am

Budak perempuan 11 tahun keldai dadah termuda Colombia

BOGOTA: Polis Colombia berjaya menahan keldai dadah termuda, seorang budak perempuan berusia 11 tahun selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan lebih 100 biji kapsul di dalam perutnya.

Budak yang tidak didedahkan namanya itu kini berada di hospital dengan pengawasan pengawal di Cali, barat Colombia, selepas cubaannya untuk menyeludup dadah digagalkan dengan menyorokkannya di dalam kapsul untuk menyusup ke Eropah.

"Kanak-kanak itu menjalani pembedahan dan 104 kapsul dikeluarkan. Ketika ini dadah berkenaan sedang diuji untuk menentukan sama ada ia jenis yang dibenarkan," kata Komander Polis Cali, Olis Hoover Penilla.

Kanak-kanak perempuan itu dipercayai dijadikan keldai dadah untuk membawa masuk antara to 500 hingga 600 gram (kira-kira setengah kilogram) dadah ke Eropah, demikian menurut polis yang mendakwa pengedar termuda pernah ditangkap pihak berkuasa Colombia setakat ini.

"Semua ini menandakan dia sudah dipergunakan sebagai mangsa oleh orang dewasa," katanya.

Latar belakang kanak-kanak berkenaan menunjukkan kedua ibu bapanya sudah berpisah.

Ibunya berkata, anaknya itu tinggal bersama bapanya pada hujung minggu dan kembali ke rumahnya dengan keadaan resah dan sakit perut pada sebelah malam.

Apabila ibunya mendapati sakit perut anaknya itu masih tidak surut sejak pagi, beliau terus membawanya ke hospital.

Penilla berkata, polis kini masih memburu bapa kepada kanak-kanak berkenaan.

Colombia adalah antara pengeksport utama dunia dadah jenis kokain, selain Peru, demikian menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

Berita Harian X