Jumaat, 7 Julai 2017 | 7:05pm

Chong Wei masih takut Misbun

MISBUN (kiri) bersama Chong Wei pada sesi latihan di ABM, Bukit Kiara. - Foto Osman Adnan
MISBUN (kiri) bersama Chong Wei pada sesi latihan di ABM, Bukit Kiara. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, mengakui dia masih mempunyai perasaan takut terhadap Datuk Misbun Sidek walaupun sudah enam tahun terpisah.

Misbun yang membantu Chong Wei memenangi pingat perak Olimpik pertamanya pada 2008 di Beijing meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2011 tetapi kembali bersama badan induk itu sejak Isnin lalu sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki.

Jurulatih berusia 57 tahun itu tidak menunggu lama untuk memulakan intensif terhadap barisan pemain perseorangan lelaki sambil dibantu tiga lagi jurulatih, Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob.

"Misbun adalah individu yang bertanggungjawab menaikkan saya dan semua pemain muda yang ada sekarang tidak nampak kesusahan yang saya alami dulu.

"Dengan kehadiran semula Misbun ini, saya sudah awal-awal mengingatkan pemain lain untuk bersedia. Kini baru mereka tahu. Baru lima hari Misbun memulakan tugas, ada pemain yang mengalami kekejangan dan menangis kerana latihan daripada Misbun.

"Saya sendiri masih takut dengan Misbun," kata Chong Wei ketika ditemui selepas sesi latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Pemain nombor dua dunia itu yang kini dalam persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan depan, berkata keutamaannya kini adalah untuk memastikan dirinya tidak mengalami sebarang kecederaan dan mendapat bimbingan Misbun sebanyak mungkin.

"Fokus utama saya adalah Kejohanan Dunia, perkara lain nombor dua. Saya sudah memperlahankan acara lain di luar gelanggang.

"Saya sedar saya ada komitmen dengan penaja tetapi saya akan pastikan ia semua berlangsung pada hari saya tidak menjalani latihan. Rutin harian saya adalah mendapat rehat yang cukup, tidur awal dan menjalani latihan.

"Tiga kali saya mara ke final Kejohanan Dunia tetapi masih belum menjadi juara, jadi adalah normal jika saya memikirkan untuk menjadi juara.

"Kejohanan Dunia kali ini pastinya sukar dan usia saya semakin meningkat. Lebih sukar, China ada empat wakil dan saya perlu menewaskan sekurang-kurangnya tiga daripada mereka untuk mara ke final," katanya.

Selain Chong Wei, pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkifli turut akan beraksi di Glasgow.

Berita Harian X