Rabu, 5 Julai 2017 | 8:45pm

Pacquiao minta WBO lihat semula kekalahannya

LEGENDA tinju Filipina, Manny Pacquiao. - Foto REUTERS
LEGENDA tinju Filipina, Manny Pacquiao. - Foto REUTERS

MANILA: Legenda tinju Filipina, Manny Pacquiao hari ini menggesa Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) mengkaji semula 'keputusan tidak adil dan tiada pemantauan' selepas tewas gelaran welterweight kepada peninju Australia, Jeff Horn.

Pacquiao meluluskan permintaan formal oleh Majlis Sukan dan Hiburan Filipina supaya WBO melihat semula keputusan pertarungan di Brisbane, Ahad lalu.

"Saya sayangkan tinju dan saya tidak mahu melihat ia berkubur kerana keputusan tidak adil dan tiada pemantauan," kata Pacquiao, 38, dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya.

"Saya menerima keputusan itu tetapi selaku pemimpin, pada masa yang sama seorang pejuang, saya ada tanggungjawab moral untuk mempertahankan semangat kesukanan, kebenaran dan keadilan di mata umum," kata Pacquiao yang juga seorang senator.

Pada kemuncak karier profesionalnya selama 22 tahun dengan memenangi gelaran dunia dalam lapan kategori, Pacquiao meminta pertarungan semula, namun akhirnya berkata dia juga 'berat memikirkan' mengenai persaraan.

Walaupun ramai tidak memberi harapan, Horn, 29, mengejutkan Pacquiao dengan persembahan sangat agresif untuk memberikan kemenangan sebulat suara dalam pertarungan 12 pusingan itu. - AFP

Berita Harian X