Sabtu, 10 Jun 2017 | 12:15am

Marquez terpantas latihan bebas GP Catalunya

 MARC Marquez mendominasi hari pertama sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Catalunya di Litar Montmelo .- Foto EPA
MARC Marquez mendominasi hari pertama sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Catalunya di Litar Montmelo .- Foto EPA

BARCELONA: Penyandang juara dunia MotoGP, Marc Marquez mendominasi hari pertama sesi latihan bebas Grand Prix (GP) Catalunya di Litar Montmelo yang direka semula ketika kebanyakan pesaingnya tampak bergelut.

Selepas menamatkan perlumbaan GP Itali di tangga keenam minggu lalu, penunggang Honda dari Sepanyol itu yang memenangi satu daripada enam perlumbaan setakat musim ini, mencetus sedikit kegembiraan buat peminatnya di laman sendiri selepas melakukan 1 minit 44.295 saat (s) catatan sepusingan.

Litar Montmelo direka semula susulan kematian penunggang kelas Moto2, Luis Salom pada musim lalu dengan kebanyakan pelumba terpaksa bergelut dengan keadaan hujan pada sesi pagi.

Penunggang Ducati, Jorge Lorenzo mencatat masa kedua terpantas, ketinggalan 0.405s manakala muka baharu Jerman, Jonas Folger yang menunggang Yamaha ketiga terpantas, ketinggalan 0.544s.

Juara GP Itali di Mugello minggu lalu, Andrea Dovizioso yang menunggang Ducati mencatat masa keempat terpantas.

Pelumba legenda Itali, Valentino Rossi yang masih trauma dengan kemalangan ketika latihan motocross dua minggu lalu, di tangga ke-10 terpantas manakala rakan sepasukannya dari Yamaha dan pendahulu kejuaraan, Maverick Vinales di tangga ke-16. - AFP

Berita Harian X