Selasa, 30 Mei 2017 | 5:05pm

Tajaan KL2017 lepasi sasaran

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menunjukkan pingat emas Sukan SEA Ke-29 di majlis pelancaran pengenalan pingat sukan SEA Ke-29 di Royal Selangor. - Foto Zunnur Al Shafiq
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menunjukkan pingat emas Sukan SEA Ke-29 di majlis pelancaran pengenalan pingat sukan SEA Ke-29 di Royal Selangor. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan penajaan bagi penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sudah melepasi sasaran.

Beliau berkata, setakat ini Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) sudah menerima keseluruhan penajaan berjumlah RM82.6 juta berupa wang tunai dan barangan serta perkhidmatan.

"Wang tunai yang berjaya dikumpul berjumlah RM25 juta manakala barangan dan perkhidmatan hampir RM58 juta," katanya selepas menyaksikan perjanjian penajaan antara Royal Selangor yang diwakili Pengarah Eksekutifnya, Chen Thien Yue dengan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Datuk Seri Zolkples Embong di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar, Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo dan Timbalan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, John Ng.

Royal Selangor menjadi rakan penaja Perak ketujuh dan Rakan Pingat Rasmi bagi penganjuran kedua-dua temasya itu yang akan berlangsung pada Ogos dan September depan.

Lebih 1,200 pingat - emas, perak dan gangsa - yang menjadi buruan 7,000 atlet dan pegawai diperkenalkan secara rasmi hasil sentuhan pengeluar pewter Malaysia, Royal Selangor.

"Kemuncak kejayaan dalam sukan berprestasi tinggi adalah sama ada anda layak untuk dikalungkan pingat di leher.

"Selepas berusaha keras, segalanya terarah kepadanya, tidak kira sama ada berdiri di atas podium sambil menunjukkan pingat kepada lensa kamera atau ketika di dalam bekas kaca, pingat ini memainkan peranan yang penting," kata Khairy.

Berita Harian X