Isnin, 15 Mei 2017 | 2:52pm

Chong Wei optimis mara final Piala Sudirman

DATUK Lee Chong Wei bersama Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan). - Foto BERNAMA
DATUK Lee Chong Wei bersama Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan). - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, optimis Malaysia mampu melangkah ke final Piala Sudirman di Gold Coast, Australia yang akan membuka tirai saingannya, Ahad ini.

Chong Wei yang mendapat tonik terbaik sebelum berlepas ke Gold Coast, Rabu ini apabila memperbaharui kontraknya sebagai duta minuman isotonik nombor satu Malaysia, 100PLUS, hari ini, berkata skuad negara turun tanpa tekanan dan tidak mustahil mampu melakar kejutan.

"Semua pun tahu peluang kita kali ini (mara ke final) adalah cerah. Namun, kita kehilangan khidmat Goh Liu Ying (pemain beregu campuran) yang cedera tetapi beregu campuran kedua kita (Tan Kian Meng-Lai Pei Jing) masih ada malah Chan Peng Soon juga ada.

"Tiada apa yang akan merugikan kita, saya percaya semua pemain akan buat persiapan terbaik. Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ini adalah separuh akhir (2009) dan sebagai pemain sudah pasti kami mahu buat yang lebih baik, jika mara ke final ia dianggap bonus.

"Apa yang paling penting adalah semangat kerja sepasukan. Bukan mudah untuk bermain dalam kejohanan berpasukan, kita menang sama-sama kita kalah sama-sama," katanya ketika sidang media selepas menandatangani perjanjian memperbaharui kontraknya dengan 100PLUS untuk tempoh dua tahun lagi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Pengurus Pemasaran 100PLUS, Leong Wai Yin.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan C, akan membuka tirai saingan menentang Jerman pada 23 Mei ini sebelum bertemu Jepun sehari kemudian.

Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke suku akhir dan lawan pada saingan kelompok lapan terbaik itu akan ditentukan menerusi undian semula.

Pemain lain yang turut memperkuatkan cabaran Malaysia kali ini ialah Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki); Goh Jin Wei dan Sonia Cheah (perseorangan wanita); Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita); dan Cheah Yee See (beregu campuran).

Sementara itu, Wai Yin mengakui 100PLUS gembira kerana dapat meneruskan kerjasama dengan Chong Wei yang bermula sejak lapan tahun lalu.

"Hubungan kami dengan Chong Wei bermula sejak lapan tahun lalu lagi dan apabila kontrak baharu ini tamat dua tahun lagi, ini bermakna 100PLUS dan Chong Wei sudah bekerjasama selama satu dekad.

"Semoga Chong Wei dan skuad badminton negara mendapat keputusan yang positif pada kempen Piala Sudirman nanti. Kami akan terus memberikan sokongan kepada mereka," katanya.

Berita Harian X