Isnin, 15 Mei 2017 | 10:02am

Superbike Dunia: Zulfahmi kecewa di Imola

KUALA LUMPUR: Selepas lima pusingan kelas Supersport Kejuaraan Superbike Dunia 2017, Zulfahmi Khairuddin jelas bergelut untuk memburu kutipan mata apabila nasib sering kali tidak memihak kepadanya.

Semalam, pelumba Orelac Racing Verdnatura itu terpaksa melupakan perlumbaan di Sirkit Imola, Itali - yang diganggu bendera merah dan harus dipendekkan susulan kemalangan - selepas jenteranya mengalami masalah mekanikal.

ZULFAHMI Khairuddin.
ZULFAHMI Khairuddin.

"Saya bimbang dengan permulaan hujung minggu yang buruk buat saya dan ia nyata berlaku!," kata Zulfahmi.

"Sebelum bendera merah pertama dikibarkan, saya mempunyai permulaan perlumbaan yang baik dan berjaya memintas kira-kira lima pelumba di pusingan pertama.

"Saya berasa yakin yang saya mampu menamatkan perlumbaan dalam kedudukan yang menjanjikan mata dan ia mungkin dapat meningkatkan semangat buat kami."

Zulfahmi memulakan perlumbaan pertama dari petak ke-25 dan berada di kedudukan ke-19 sebelum diganggu insiden sehingga memaksa bendera merah dikibarkan.

Perlumbaan dimulakan semula sebelum sekali lagi bendera merah dikibarkan sehingga memaksa saingan dipendekkan kepada 11 pusingan.

"Apabila perlumbaan diteruskan semula untuk kali ketiga, motosikal sudah menunjukkan tanda-tanda kurang prestasi sebelum saya mungkin dapat melengkapkan satu pusingan.

"Sebagai langkah keselamatan, saya menarik diri dan ia adalah penamat buat hujung minggu saya. Saya tahu kadangkala perlumbaan boleh jadi sebegini tetapi sukar untuk tidak berasa kecewa apabila berlaku seperti ini.

"Kami perlu melupakan perkara ini dan kembali memberi saingan dan itu adalah sasaran saya."

Selepas lima pusingan, Zulfahmi hanya meraih enam mata dan kini berada di tangga ke-27 keseluruhan dengan musim 2017 berbaki lapan perlumbaan.

Perlumbaan keenam musim ini dijadual berlangsung di Sirkit Donington Park, United Kingdom pada 26 hingga 28 Mei ini.

Berita Harian X