Khamis, 11 Mei 2017 | 7:20pm

KL2017 perlukan lagi RM8 juta

DARI KIRI; Ketua Pegawai Eksekutif Spritzer, Kenny Lim, Pengarah Eksekutif Spritzer, Dr Chuah Chaw Teo, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Pengurus Pemasaran Kumpulan Spritzer, Elaine Ho Yee Ling dan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2017,Datuk Seri Zolkples Embong bergambar bersama produk minuman Spritzer edisi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada majlis menandatangani penajaan MASOC 2017 dengan air minuman Spritzer di Menara KBS, Putrajaya. - Foto OsmanAdnan

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan keseluruhan tajaan untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sudah pun mencapai 90 peratus daripada sasaran RM80 juta.

Beliau, berkata penajaan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan sudah mencapai sasaran dengan RM50 juta berjaya dikumpul manakala wang tunai yang terkumpul kini sebanyak RM22 juta.

"Secara keseluruhan, kita berjaya mengumpul RM72 juta setakat ini. RM22 juta adalah tajaan wang tunai dan kita masih perlukan RM8 juta lagi untuk mencapai sasaran.

"Manakala penajaan barangan dan perkhidmatan sudah mencapai sasaran RM50 juta.

"Masih ada lagi penajaan yang bakal diterima selepas ini tetapi mungkin sesetengah daripadanya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan namun dalam jumlah yang besar," kata Khairy selepas majlis penajaan daripada Spritzer di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Sekretariat Sukan SEA 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Spritzer, Kenny Lim.

Sementara itu, Spritzer iaitu jenama air mineral terkenal negara tampil sebagai penaja perak bagi KL2017 dengan nilai tajaan antara RM1 juta hingga RM3 juta.

Ini adalah kali kedua Spritzer tampil sebagai penaja Sukan SEA selepas edisi 2001 yang menyaksikan Malaysia turut menjadi tuan rumah.

"Saya amat berbangga Spritzer mengambil keputusan melonjakkan jenama melalui kerjasama dengan KL2017. Kita berharap kehadiran Spritzer turut dapat menjayakan dan menyemarakkan lagi inisiatif temasya hijau MASOC" katanya.

Selain membekalkan air botol sepanjang berlangsungnya KL2017 nanti, Spritzer juga turut menjayakan kempen sukan Hijau dan mesra alam menerusi aktiviti hijau syarikat itu sendiri.

Berita Harian X