Ahad, 7 Mei 2017 | 8:44pm

Sukan menyatukan masyarakat: KJ

KHAIRY Jamaluddin (kanan) beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir Karnival Sukan dan Kebudayaan Parlimen Lenggong di padang Majlis Daerah Lenggong. - Foto Farah Suhaidah Othman
KHAIRY Jamaluddin (kanan) beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir Karnival Sukan dan Kebudayaan Parlimen Lenggong di padang Majlis Daerah Lenggong. - Foto Farah Suhaidah Othman

LENGGONG : Karnival Sukan dan Kebudayaan Parlimen Lenggong yang diadakan sepanjang tiga hari mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti sukan rakyat untuk menyatukan masyarakat setempat.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata program berkenaan cukup sesuai dengan aspirasi beliau sebagai menteri yang mahu mengutamakan gaya hidup sihat bukan sahaja untuk golongan belia malah untuk warga tua. 

Katanya, aktiviti sukan dalam kalangan rakyat turut menjadi platform kepada masyarakat berbilang kaum untuk berkumpul tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

"Secara serius, saya mahu menjadikan Malaysia sebagai negara bersukan dan mahu sukan menjadi budaya di peringkat akar umbi.

"Saya mahu melihat rakyat negara ini cergas kerana Malaysia hari ini menduduki carta nombor satu di Asia dalam pelbagai 'acara' termasuk 'acara' kencing manis, obesiti dan tekanan darah tinggi," katanya ketika berucap pada majlis penutup karnival berkenaan di sini petang tadi.

 Turut hadir, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad.

Khairy berkata, aktiviti seumpama itu turut menjadi medan bagi setiap daerah di negara ini mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan.

"Kita cungkil bakat baharu agar juara dunia juga boleh ditampilkan dari kawasan kecil termasuk di Lenggong.

"Sekarang kita sudah ada pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang memenangi kejohanan dunia dan kita juga ada atlet sukan OKU (orang kelainan upaya) yang mampu mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa dan tidak mustahil ada atlet dari Lenggong turut menjadi juara dunia di peringkat itu," katanya. 

Pada karnival berkenaan, seramai 30,000 pengunjung membanjiri padang Majlis Daerah Lenggong sepanjang karnival yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lalu.

Berita Harian X