Ahad, 7 Mei 2017 | 11:47am

Larian dua lebuh raya sasar 17,500 peserta

WAKIL penganjur dan penaja larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017 bergambar ketika sidang media baru-baru ini.
WAKIL penganjur dan penaja larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017 bergambar ketika sidang media baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Seramai 17,500 peserta dijangka menyertai larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2017 yang dijadualkan berlangsung pada 30 Julai dan 10 September depan.

Larian membabitkan dua lebuh raya iaitu Besraya dan New Pantai Expressway (NPE) itu bakal memberikan pengalaman unik kepada peserta dengan laluan akan ditutup sepenuhnya kepada kenderaan.

"Kali terakhir dianjurkan pada 2013, larian ini menarik penyertaan 14,000 peserta, jadi kami harapkan sambutannya akan meningkat tahun ini.

"Bagi larian di NPE yang dijadualkan pada 10 September, kami berharap mampu menarik 12,000 peserta bagi kategori 21 kilometer dan 10 kilometer.

"Sekurang-kurangnya 5,500 peserta pula dijangka menyertai cabaran di Besraya bagi jarak 13km dan 6km pada 30 Julai," kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon

Beliau, berkata penganjuran larian itu adalah usaha pihaknya menyambut saranan Kementerian Belia dan Sukan bagi sektor swasta menerokai dalam bidang ini.

Pemenang kategori utama (13km dan 21km) bagi hadiah keseluruhan iaitu peserta terpantas daripada gabungan catatan masa untuk kedua-dua acara itu akan membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan berpeluang menyertai salah satu acara maraton terkemuka di dunia.

Berita Harian X