Ahad, 7 Mei 2017 | 7:44am

Monaco hampiri kejuaraan Ligue 1

PEMAIN Nancy, Christophe Mandanne (kiri) diasak pemain Monaco, Nabil Dirar pada saingan Ligue 1 di Stadium Marcel Picot, awal pagi tadi. - Foto AFP
PEMAIN Nancy, Christophe Mandanne (kiri) diasak pemain Monaco, Nabil Dirar pada saingan Ligue 1 di Stadium Marcel Picot, awal pagi tadi. - Foto AFP

PARIS: Bernardo Silva yang tersenarai dalam pemain terbaik tahunan menyumbat gol ketika Monaco mudah menewaskan Nancy 3-0 dalam saingan Ligue 1, awal pagi tadi.

Kemenangan itu meletakkan kelab berkenaan semakin hampir untuk menjuarai liga utama Perancis buat kali pertama selepas kali terakhir melakukannya pada 2000.

Monaco dilihat sebagai pencabar utama kepada Paris Saint-Germain (PSG) yang membelasah Bastia 5-0 dalam perlawanan berlangsung lebih awal, tetapi mereka memberikan reaksi yang penuh bergaya susulan kemenangan selesa ke atas Nancy di Stade Marcel-Picot.

Monaco kini memiliki kelebihan tiga mata di depan juara bertahan itu, selain mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan serta perbezaan jaringan yang besar.

Situasi itu menyaksikan skuad bimbingan Leonardo Jardim hanya memerlukan satu lagi kemenangan daripada baki tiga perlawanan mereka bagi membolehkan menjulang trofi liga buat kali kelapan dan pertama selepas 17 tahun.

"Dengan kemenangan ini, kami semakin hampir untuk mencapai objektif kami tetapi ia masih belum berakhir. Kami perlu kekalkan prestasi ini pada baki tiga perlawanan terakhir musim ini," kata Jardim.

Kunjungan ke Stade Marcel-Picot mungkin sedikit pelik buat Monaco iaitu tiga hari sebelum mereka perlu mengubah defisit 2-0 menjelang aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Juventus.

Bagaimanapun, Jardim menegaskan mengatasi PSG dalam saingan domestik bagi perebutan gelaran liga adalah objektif utama dan hampir semua pemain utamanya diturunkan dalam kesebelasan utama biarpun Tiemoue Bakayoko dan bintang muda, Kylian Mbappe sekadar memanaskan bangku simpanan. - AFP

Berita Harian X