Ahad, 30 April 2017 | 7:22am

Mbappe julang Monaco

PEMAIN Monaco, Kylian Mbabee (kanan) beraksi ketika menentang Toulouse, pada perlawanan Ligue 1 Perancis awal pagi tadi. - Foto REUTERS
PEMAIN Monaco, Kylian Mbabee (kanan) beraksi ketika menentang Toulouse, pada perlawanan Ligue 1 Perancis awal pagi tadi. - Foto REUTERS

PARIS: Kylian Mbappe sekali lagi menjaringkan gol menakjubkan untuk Monaco ketika pendahulu Ligue 1 Perancis itu bangkit menewaskan Toulouse 3-1, awal pagi tadi.

Kemenangan di laman sendiri itu berjaya mengukuhkan kedudukan Monaco di puncak liga dengan kelebihan tiga mata selepas mengumpul jumlah keseluruhan 83 mata - melepasi jumlah 80 mata yang diraih pada musim 2013-14.

Ola Toivonen menjaringkan gol untuk Toulouse selepas seminit perlawanan babak kedua bermula sekali gus dilihat mampu merencatkan harapan Monaco memburu gelaran di Stade Louis II, tetapi Kamil Glik berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-49.

Selepas itu, Mbappe meledak gol ke-14 dalam saingan liga untuk gol kedua Monaco pada minit ke-64 sebelum Thomas Lemar mengesahkan kemenangan mutlak tuan rumah, pada minit ke-75.

Monaco kini berada di landasan tepat merangkul gelaran juara liga sejak 2000 apabila pasukan yang belum pernah tewas di laman sendiri - Nice (tangga ketiga) akan menanti kunjungan pasukan di tangga kedua liga, Paris Saint-Germain (PSG), esok.

Dalam aksi pagi tadi, pengendali Monaco, Leonardo Jardim, melakukan banyak pertukaran taktikal dengan menggilirkan pemain termasuk Mbappe, Radamel Falcao dan Bernardo Silva - tiga hari selepas mereka tewas 0-5 kepada PSG dalam saingan separuh akhir Piala Perancis.

Monaco perlu memastikan pemainnya cukup cergas dan bebas kecederaan menjelang saingan separuh akhir pertama Liga Juara Juara menentang Juventus awal pagi Khamis ini. - AFP

Berita Harian X