Selasa, 25 April 2017 | 2:48pm

KL2017: Jumlah tajaan cecah 89 peratus

Khairy Jamaluddin semasa menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian penajaan antara Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar dengan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong (kanan) semasa majlis penajaan perak sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di McDonald's Putrajaya.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Khairy Jamaluddin semasa menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian penajaan antara Pengarah Urusan dan Rakan Operasi McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar dengan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Pengelola Kuala Lumpur 2017, Datuk Seri Zolkples Embong (kanan) semasa majlis penajaan perak sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di McDonald's Putrajaya.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Penajaan keseluruhan edisi ke-29 Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) sudah mencapai 89 peratus namun penajaan tunai ketika ini masih di tahap 71 peratus berbanding sasaran RM30 juta.

Berbaki kira-kira 115 hari sebelum temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu membuka tirai Ogos ini, jumlah peratusan penajaan yang diraih Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) dilihat hampir mencapai sasaran namun penajaan tunai tampak bergerak perlahan.

Mengulas mengenai perkembangan penajaan itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberikan penekanan terhadap penajaan tunai ketika penajaan perkhidmatan dan barangan sudah mencapai sasarannya.

"Secara keseluruhan, kita sudah capai 89 peratus sasaran dengan penajaan tunai sebanyak 71 peratus manakala penajaan perkhidmatan dan barangan sudah mencapai 99 peratus. Jadi kita cari penajaan tunai ketika ini," katanya.

Khairy berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MASOC dan McDonalds sebagai Penaja Kategori Perak bagi KL 2017.

Mengenai pembabitan McDonalds bagi KL2017, Khairy berkata ini kali pertama restoran rangkaian terkemuka dunia itu bekerjasama selaku penaja sekali pun sudah lama terbabit dalam penajaan bagi temasya lebih besar termasuk Sukan Olimpik.

"Saya merasa gembira atas pembabitan syarikat seperti McDonalds dalam KL2017. Kementerian Belia dan Sukan dan MASOC amat mengalu-alukan pembabitan swasta dalam segala aktiviti kami.

"KL2017 sebagai satu acara sukan dwi tahunan terbesar di Asia Tenggara adalah peluang terbaik bagi penyertaan pihak korporat yang mahukan pendedahan meluas di rantau ini," katanya.

Sebagai penaja kategori Perak, McDonalds memberi penajaan sebanyak RM1 juta yang merangkumi wang tunai dan barangan serta perkhidmatan selain terbabit dalam acara Larian Obor.

Berita Harian X