Sabtu, 22 April 2017 | 2:30pm

Affindi, Melissa juara BDB Climb & Run 2017

MOHAMAD Affindi Nudin, 31, dan Melissa Lim Yi Xin, 29, ceria bersama replika cek bernilai RM1,500 selepas masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka acara sukan lasak Bina Darulaman Berhad (BDB) Climb & Run 2017 di Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman
MOHAMAD Affindi Nudin, 31, dan Melissa Lim Yi Xin, 29, ceria bersama replika cek bernilai RM1,500 selepas masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka acara sukan lasak Bina Darulaman Berhad (BDB) Climb & Run 2017 di Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Seorang anggota tentera darat dan pegawai pemasaran masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita terbuka cabaran sukan lasak Bina Darulaman Berhad (BDB) Climb & Run 2017 di sini, hari ini.

Mohamad Affindi Nudin, 31, dari Sarawak mencatat masa sejam 38 minit 51 saat untuk menamatkan pendakian 4,287 anak tangga di tangga helang seribu kenangan dan larian mendaki serta menurun sejauh 20.5 kilometer itu.

Kemenangan terbabit amat berharga buat jurulatih olahraga pasukan tentera darat itu kerana ia adalah kemenangan kali ketiga dalam tempoh empat bulan acara sukan lasak tahun ini.

"Ini adalah percubaan pertama saya dalam acara ini dan Alhamdulillah kerana berjaya walaupun cabaran yang dihadapi, khususnya mendaki lebih 4,000 anak tangga tadi amat memeritkan.

"Saya akan terus berlatih dan pasti datang semula ke Langkawi untuk mempertahankan kejuaraan ini pada tahun hadapan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah, sebentar tadi.

Bagi kategori wanita terbuka, pelari maraton, Melissa Lim Yi Xin, 29, dari Kuala Lumpur, muncul juara selepas mencatat dua jam 19 minit dan 51 saat.

Beliau yang kerap mengambil bahagian dan menduduki kelompok 10 peserta terbaik dalam acara larian jarak jauh di negara ini mengakui acara mendaki 4,287 anak tangga memberi cabaran besar kepadanya.

Kejayaan itu membolehkan Mohamad Affindi dan Melissa membawa pulang wang tunai RM1,500 yang disampaikan Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff.

Berita Harian X