X
Selasa, 18 April 2017 | 4:30pm

Kelab penyokong sokong Azraai Khor ganti Cheng Hoe

PENGERUSI Kelab Penyokong Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri.
PENGERUSI Kelab Penyokong Jaguh Utara Fans Club (JUFC), Mohd Safarizal Mohd Sobri.

ALOR SETAR: Kelab penyokong Jaguh Utara Fans Club (JUFC) mencadangkan jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah sebagai jurulatih Kedah bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang bakal menyertai skuad kebangsaan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya.

Pengerusinya Mohd Safarizal Mohd Sobri, 37, berkata pihaknya selaku kelab penyokong ingin menyatakan pendirian kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bahawa mereka menyokong penuh pemilihan Azraai Khor Abdullah sebagai jurulatih sekiranya rundingan melantik bekas jurulatih kecergasan, Ramon Marcote menemui jalan buntu.

Setakat ini, beberapa calon jurulatih dikaitkan menggantikan Cheng Hoe termasuk K Rajagopal dan M Karathu hingga merisaukan penyokong selagi tiada keputusan muktamad dibuat dalam masa terdekat.

"Berdasarkan kredibiliti, kami yakin Azraai Khor calon paling layak untuk jawatan ketua jurulatih Kedah dan sebagai anak jati Kedah, beliau sudah berjaya membuktikan kejayaan bersama pencapaian tujuh Piala sejak 2006 dengan Piala Liga Perdana dan juara berganda pada 2007 dan 2008."

"Beliau (Azraai) sudah membuat kenyataan bahawa beliau sanggup membantu Kedah sekiranya ditawarkan jawatan Ketua Jurulatih

"Kita tidak mahu tumpuan pemain terganggu akibat situasi tergantung masa kini dan jika tiada nakhoda tetap (ketua jurulatih), bagaimana kita mahu terus fokus sepenuhnya untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA Jumaat ini walaupun kita mendahului dengan agregat 6-1 kerana dalam bola sepak apa saja mampu terjadi."

"Lihat saja kekalahan 0-5 kepada T-Team yang lalu...siapa sangka kita tewas begitu besar...ada kemungkinan mental pemain tidak kuat dan terganggu akibat apabila masalah yang sedang dihadapi."

"Beberapa faktor yang dirasa sesuai diatas pemilihan Azraai ini adalah beliau adalah anak jati Kedah dan punyai rekod cemerlang dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah dan beliau punyai 'jiwa' Kedah yang tebal dalam dirinya."

"Selain itu kami juga melihat faktor kemahiran komunikasi beliau yang mampu berada pada tahap terbaik dengan semua pemain termasuk import."

"Kami juga bertambah yakin apabila Azraai sendiri telah menyatakan bahawa beliau mahu terus menyambung falsafah dan corak permainan yang telah sebati dengan pemain selama ini.

"Kredibiliti Azraai Khor yang sudah terbukti memberi kejayaan harus dimanfaatkan sepenuhnya dan diharap pihak KFA mampu bertindak dengan lebih cepat bagi mengelakkan sebarang unsur negatif yang melemahkan moral dan semangat pemain seandainya keadaan dibiar berterusan tanpa keputusan.

Berita Harian X