Isnin, 17 April 2017 | 10:16am

EPL: Klopp julang ketangkasan Mignolet

JURGEN Klopp(kanan) dan Simon Mognolet. - Foto AFP
JURGEN Klopp(kanan) dan Simon Mognolet. - Foto AFP

WEST BROMWICH: Jurgen Klopp melaungkan pujian khusus buat penjaga gol, Simon Mignolet yang beraksi cemerlang ketika menewaskan West Bromwich Albion 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Klopp nyata lega apabila menyaksikan The Reds berjaya mempertahankan gol tunggal yang diraih mereka menerusi Roberto Firmino pada babak pertama sehingga tamat perlawanan yang berlangsung di The Hawthorns.

Kemenangan itu membolehkan anak buah Klopp kembali berada di tangga ketiga liga, dua mata di depan penghuni tangga keempat, Manchester City dalam perebutan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Mereka seharusnya berterima kasih kepada Mignolet yang berjaya menyelamatkan percubaan Matt Philllips pada lewat perlawanan, dan Klopp mencabar pemainnya untuk mengekalkan konsistensi itu.

"Ia adalah salah satu situasi sukar yang perlu dihadapi kerana kamu tidak boleh rasa selesa pada suatu ketika. Ada orang bertanya kepada saya, berapa keputusan yang akan membuatkan saya lebih tenang di lewat babak perlawanan dan saya menjawab, hanya 4-0 selepas 86 minit.

"Mungkin dengan keputusan itu saya boleh merasakan yang kami sudah menang kerana berdepan West Bromwich ia bukan hanya situasi bola mati," kata Klopp.

Klopp memuji Mignolet yang sering menjadi mangsa kritikan susulan prestasi cemerlangnya sepanjang perlawanan terutama ketika menafikan percuban Phillips.

Beberapa kali dia menyelamatkan percubaan pihak lawan ketika lewat perlawanan bagi menggagalkan situasi bola mati dimiliki West Brom.

"Dia sangat bagus ketika situasi bola mati, saya rasa dia menyelamatkan empat atau lima percubaan dalam situasi itu.

"Kami sangat gembira dengan tiga mata yang diraih, jadi kami kini mengumpul 66 mata, ia adalah nombor yang cantik untuk baki enam atau tujuh perlawanan lagi," katanya yang mengetepikan Mignolet pada awal saingan musim ini. - AFP

Berita Harian X