Isnin, 17 April 2017 | 12:35am

Firmino bantu Liverpool kembali di tangga ketiga

PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino (kanan) melakukan cubaan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Bromwich Albion di The Hawthorns. - Foto EPA
PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino (kanan) melakukan cubaan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Bromwich Albion di The Hawthorns. - Foto EPA

WEST BROMWICH: Roberto Firmino meledak jaringan tunggal kemenangan 1-0 Liverpool ke atas West Bromwich Albion, sekali gus membawa skuad Jurgen Klopp ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL).

Firmino melengkapkan pertemuan agak membosankan menerusi tandukan dari jarak dekat pada masa kecederaan babak pertama dan menghadiahkan bos West Brom, Tony Pulis kekalahan pertama musim ini di laman sendiri.

Pemain dari Brazil itu menyempurnakan gerakan yang berpunca daripada sepakan percuma untuk Liverpool meraih kemenangan kelima daripada tujuh perlawanan terakhir.

Skuad The Reds masih belum tewas sejak kekalahan kepada Leicester City pada lewat Februari lalu dan kini mendahului kelab di tangga keempat, Manchester City dengan kelebihan dua mata sekali pun skuad Pep Guardiola kurang satu perlawanan.

Pada perlawanan itu, West Brom terlebih dulu memperoleh peluang apabila Liverpool gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya namun, hantaran Matt Phillips kepada Hal Robson-Kanu gagal dilengkapkan penyerang Wales itu.

Liverpool mula menguasai permainan selepas itu namun Phillips sekali lagi membuat cubaan namun rembatan jarak jauhnya tersasar.

Pelawat sepatutnya di depan pada minit ke-15 namun gerakan yang dimulakan Lucas bersama Philippe Coutinho tidak berjaya menggugat penjaga gol West Brom, Ben Foster yang akhirnya tewas pada masa kecederaan.

Bersambung babak kedua, Divock Origi berpeluang untuk menggandakan kelebihan pelawat di awal permainan namun rembatan kaki kanannya jauh tersasar.

James Milner juga patut meletakkan namanya selaku penjaring apabila bijak menyambut hantaran Firmino, namun rembatan voleynya sekadar melepasi palang.

Di penghujung permainan, pemain gantian Liverpool Alberto Moreno menaikkan marah Klopp selepas melepaskan peluang terhidang sekali pun penjaga gol tuan rumah sudah pun keluar daripada kedudukannya.

AFP

Berita Harian X