Rabu, 12 April 2017 | 8:45pm

Marcote calon pilihan ganti Cheng Hoe

RAMON Marcote (kiri) bersama Tan Cheng Hoe (kanan) ketika bersama membimbing skuad Kedah pada 2015.
RAMON Marcote (kiri) bersama Tan Cheng Hoe (kanan) ketika bersama membimbing skuad Kedah pada 2015.

ALOR SETAR: Spekulasi siapa bakal menggantikan Tan Cheng Hoe kini semakin rancak dibincangkan dalam kalangan peminat skuad Hijau Kuning.

Ia berikutan berita ketua jurulatih itu sudah menghantar surat peletakan jawatan dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) pula sudah menerima surat tawaran dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu.

Antara nama disebut ialah Ramon Marcote yang juga bekas jurulatih kecergasan Kedah pada 2014 hingga 2015 selain pernah menggalas tugas kejurulatihan di kelab terkemuka Sepanyol, Atletico Madrid dan memiliki lesen profesional Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Beliau antara calon pilihan kerana pernah memangku jawatan jurulatih pada peringkat suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia 2015 ketika Cheng Hoe mengikuti kursus kejurulatihan di China.

Difahamkan KFA sedang mengadakan rundingan dengan Marcote yang kini menyambung kerjayanya di Sepanyol selepas tamat kontrak pada penghujung 2015.

Selain Marcote, Nidzam Adzha yang juga 'orang kanan' Cheng Hoe dan juga penolong jurulatih Kedah serta bekas jurulatih, Azraai Khor Abdullah.

Azrai sebelum ini dilaporkan bersedia membantu Kedah menggalas tugas penting sekiranya khidmatnya diperlukan, namun setakat kini, KFA masih belum membuat sebarang pengumuman rasmi.

Cheng Hoe ketika ditemui, berkata dia masih meneruskan tugas seperti biasa selagi KFA belum memberi kata putus berhubung peletakan jawatannya.

"Saya masih mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini dan biarlah KFA menentukan status saya selepas selesai mengadakan rundingan nanti.

"Setakat ini saya masih menunggu jawapan KFA dan saya mahu terus memberi fokus menerajui pasukan Kedah dalam liga yang sedang berlangsung ini," katanya.

Berita Harian X