Rabu, 5 April 2017 | 6:17pm

Pasangan Vivian Hoo-Khe Wei perlu penilaian semula

AKSI beregu wanita Malaysia Woon Khei Wei (kiri) dan Vivian Hoo ketika menentang beregu China Bao Yixin dan Yu Xiaohan pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2017 di Stadium Perpaduan Petra Jaya hari ini. - Foto BERNAMA
AKSI beregu wanita Malaysia Woon Khei Wei (kiri) dan Vivian Hoo ketika menentang beregu China Bao Yixin dan Yu Xiaohan pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2017 di Stadium Perpaduan Petra Jaya hari ini. - Foto BERNAMA

KUCHING: Barisan kejurulatihan beregu badminton wanita negara seharusnya membuat penilaian ke atas pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei sama ada mereka masih relevan atau sebaliknya untuk kekal sebagai gandingan.

Ini kerana, sejak menjuarai Grand Prix Emas Indonesia pada 2011 - gelaran pertama dan terakhir, mereka hingga kini masih gagal mencetuskan impak positif biarpun berada dalam kelompok 15 terbaik dunia.

Semalam, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 itu ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Bao Yixin-Yu Xiaohan dari China 21-13, 17-21, 26-28 di Stadium Perpaduan Kuching.

Kegagalan demi kegagalan yang dialami Vivian-Khe Wei menunjukkan betapa sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkan kerjaya mereka dan jalan terbaik adalah memecahkan gandingan kedua-dua pemain berkenaan.

Bagaimanapun, Vivian ketika ditanya sama ada mereka memerlukan nafas baharu untuk kembali menghasilkan keputusan positif di pentas antarabangsa menyifatkan prestasi dia dengan Khe Wei semakin meningkat susulan beberapa perubahan yang dilakukan terutama dari corak permainan.

"Kami sentiasa cuba untuk melakukan perkara baharu bagi meningkatkan corak permainan kami. Kami buat perubahan dari aspek taktikal dan ia memberi kesan positif dan negatif buat kami namun kami merasakan prestasi kami lebih baik berbanding sebelum ini apabila kami berjaya memberi saingan sengit kepada setiap lawan kami.

"Sudah pasti apabila kita tukar kepada perkara baharu, ia akan memberi sedikit masalah terutamanya terhadap kombinasi kami tetapi ia sebenarnya perkara biasa," kata Vivian ketika ditemui selepas perlawanan, semalam.

Kekalahan beregu nombor satu negara itu menyaksikan hanya Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan menjadi wakil tunggal Malaysia berjaya meneruskan cabaran ke pusingan kedua dalam acara beregu wanita.

Meng Yean-Mei Kuan mempamerkan aksi cemerlang dengan menundukan pasangan Indonesia, Dian Fitriani-Nadya Melati 21-18, 21-14.Mereka akan membuat perhitungan dengan pilihan keempat dari China, Chen Qingchen-Jia Yifan bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Satu lagi beregu wanita negara, Tee Jing Yi-Joyce Choong turut tersingkir apabila tewas di tangan beregu China, Luo Ying-Luo Yu 14-21, 18-21.

Berita Harian X