Rabu, 5 April 2017 | 2:59pm

Azraai Khor sedia bantu Kedah

Azraai Khor. - Foto Mohd Asri Saifudddin Mamat
Azraai Khor. - Foto Mohd Asri Saifudddin Mamat

ALOR SETAR: Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berharap isu dan status ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang masih menjadi tanda tanya tidak akan mengganggu prestasi semasa skuad Helang Merah itu.

Ketika ini, Kedah yang menerajui carta Liga Super berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran merangkul tiga piala selepas skuad juara Piala Malaysia 2016 ini menjulang Piala Sumbangsih pada awal musim ini.

Bagi Azraai, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) perlu mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu agar tidak meninggalkan kesan mendalam kepada pasukan dan pengurusan serta barisan kejurulatihan.

"Kedua-dua pihak harus segera menyelesaikan hal ini dan jika perlu diadakan rundingan, maka lebih mudah mendapat persetujuan bersama," katanya yang pernah menerajui Kedah menjulang kejayaan 'Double Treble' pada 2007 dan 2008.

Bekas pengendali T-Team ini juga yakin KFA mampu menangani perkara ini dengan berkesan tanpa kesan yang berpanjangan.

Azraai yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan kini baru pulang dari Brazil selepas menghadiri program bola sepak bagi tujuan meningkatkan pengetahuan kejurulatihan.

"Bukan mudah untuk mencari pengganti (Tan Cheng Hoe) yang sudah membuktikan beberapa kejayaan seperti Juara Liga Perdana 2015, Juara Piala Malaysia 2016 dan Juara Piala Sumbangsih 2017 untuk Kedah.

"Saya juga menyokong falsafah dan corak permainan yang diterapkan dan sudah sebati dengan Kedah perlu diteruskan oleh mana mana jurulatih yang akan dilantik mengendalikan pasukan itu nanti," katanya.

Ditanya mengenai namanya yang disebut oleh penyokong Kedah sebagai antara calon pengganti Tan Cheng Hoe selain Ramon Marcote, beliau bagaimanapun tidak menolak seandainya ditawarkan jawatan itu.

"Faktor komunikasi dan persefahaman yang baik adalah perkara asas yang penting untuk mana mana jurulatih baharu nanti.

"Saya yakin KFA mampu menilai calon yang paling sesuai untuk pencarian ini berdasarkan pengalaman dan kewibawaan," katanya.

Berita Harian X