X
Ahad, 26 March 2017 | 12:00am

Peraturan baharu taekwondo tak jejas skuad negara

MOHD Nazifuddin Mohd Najib. - Foto Hasriyasyah Sabudin
MOHD Nazifuddin Mohd Najib. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KANGAR: Taekwondo Malaysia (TM) yakin atletnya mampu mempamer aksi cemerlang walaupun sistem dan peraturan baharu bakal diguna pakai untuk sukan itu pada Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden, Mohd Nazifuddin Mohd Najib, berkata sistem baharu dalam sukan taekwondo itu sama sekali tidak merencatkan prestasi atlet, malah TM yakin untuk mencapai sasaran empat pingat emas pada temasya sukan itu nanti.

"TM telah menyediakan skuad negara secara intensif di Korea Selatan, dan tidak mustahil mereka juga berupaya menyumbang pingat kejutan.

"Kejuaraan Taekwondo ASEAN di sini selama dua hari yang berakhir hari ini, merupakan antara sesi 'pemanas badan' yang cukup meyakinkan oleh atlet negara untuk beraksi lebih cemerlang pada Sukan SEA nanti," katanya.

Mohd Nazifuddin bercakap kepada pemberita selepas majlis penutup Kejuaraan Taekwondo ASEAN ke-13 di sini, yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang turut menyampaikan pingat kepada pemenang di mana juara keseluruhan dimenangi Vietnam, diikuti Malaysia dan Filipina, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, Mohd Nazifuddin berkata TM sudah sampai ke peringkat pemilihan terakhir atlet ke Sukan SEA serta akan menghantar peserta dalam semua kategori yang dipertandingkan di temasya dwitahunan itu.

"Fokus dan keyakinan TM untuk merangkul pingat adalah bagi acara poomsae berpasukan lelaki dan pasangan campuran dan kyorugi, kategori feather weight lelaki (bawah 68kg) dan fly weight wanita (bawah 49kg)," katanya.

Sebanyak 16 pingat emas ditawarkan bagi taekwondo Sukan SEA yang dijangka diadakan dari 27-30 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas taekwondo Sukan SEA ialah pada 2009 menerusi Che Chew Chan dalam kategori wanita bawah 73kg, manakala di Sukan SEA di Singapura dua tahun lepas, Malaysia sekadar membawa pulang tiga pingat perak dan tiga gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X