Khamis, 23 March 2017 | 11:51pm

Bekas wanita bionik puji kempen #1M1H

ZAITON (kiri) bersama Mas Ermieyati (dua dari kiri) menziarahi seorang penduduk Kampung Melekek Luar, Melaka.
ZAITON (kiri) bersama Mas Ermieyati (dua dari kiri) menziarahi seorang penduduk Kampung Melekek Luar, Melaka.

MELAKA: Bekas wanita besi dan bionik negara, Zaiton Othman memuji kempen 1Malaysia 1Hope (#1M1H) - 'Giving Back To The Nation' yang dianjurkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Zaiton yang kini Pesuruhjaya Sukan mengakui kempen yang diilhamkan Penaung YAKEB, Datin Seri Rosmah Mansor itu membantu bekas-bekas atlet untuk terus memberi sumbangan dan berbakti kepada negara walaupun sudah bersara.

"Saya akui kempen #1M1H yang dilaksanakan YAKEB di bawah pimpinan Datuk Malek Noor ini sangat baik dan unik.

"Ini kerana bekas-bekas atlet boleh terus berbakti dan mendekatkan diri dengan masyarakat yang memberi banyak sokongan ketika mereka beraksi satu ketika dulu.

"Lebih menarik, bekas-bekas atlet juga boleh berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing dengan mencungkil bakat-bakat terpendam di kalangan pelajar sekolah," katanya selepas menziarahi dan memberi sumbangan kepada penduduk Kampung Melekek Luar, di sini, baru-baru ini.

Ahli YAKEB turut melakukan kerja amal mengecat dan membersihkan kawasan surau di kampung berkenaan, selain mengadakan sukaneka bersama penduduk kampung.

Zaiton yang meraih tiga pingat emas menerusi acara heptatlon, 4x100 dan 4x400 meter pada Sukan SEA Manila 1981 berkata demikian pada majlis kempen #1M1H kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan bekas pemain skuasy negara, Azlan Iskandar.

Berita Harian X