Rabu, 22 March 2017 | 8:53am

2 atlet Jamaica didakwa langgar peraturan anti-doping

KALIESE Spencer dan Riker Hylton didakwa melanggar peraturan anti-doping, perkara itu disahkan oleh pegawai olahraga Jamaica. - Foto Reuters
KALIESE Spencer dan Riker Hylton didakwa melanggar peraturan anti-doping, perkara itu disahkan oleh pegawai olahraga Jamaica. - Foto Reuters

KINGSTON: Juara acara 400 meter (m) berpagar Sukan Komanwel, Kaliese Spencer dan pemenang pingat acara relay di kejohanan dunia, Riker Hylton didakwa melanggar peraturan anti-doping, perkara itu disahkan oleh pegawai olahraga Jamaica.

"Kami dinasihatkan oleh JADCO (Suruhanjaya Anti-Doping Jamaica) bahawa atlet, Kaliese Spencer dan Riker Hylton dirujuk kepada Panel Tatatertib Bebas Anti Doping untuk sesi pendengaran yang akan dikendalikan mengikut Perkara 8, Peraturan Anti-doping JADCO 2015, " kata Persatuan Pentadbiran Olahraga Jamaica (JAAA) dalam kenyataan.

Katanya, kedua-dua atlet didakwa melanggar Perkara 2.3 yang menyebut mengenai 'Mengelak, menolak atau gagal untuk menghantar koleksi sampel."

Mengikut peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), "mengelak, menolak atau gagal menghantar koleksi sampel" adalah satu daripada 10 kemungkinan bahawa atlet atau staf sokongan boleh didakwa dengan pelanggaran peraturan anti-doping.

Hukuman maksimum adalah penggantungan selama empat tahun.

Spencer memenangi pingat emas di Sukan Komanwel di Glasgow pada 2014 dan juga pemenang pingat perak di kejohanan dunia dalam acara relay 4x400m di Berlin pada 2009.

Dia tidak menjawab panggilan telefon Reuters ataupun mesej untuk memberikan komen.

Hylton, yang memenangi pingat gangsa 4x400m di Kejohanan Dunia 2011 di Daegu, memberitahu Reuters bahawa dia sudah dimaklumkanaberhubung penggantungan sementara oleh JADCO.

Dia berkata badan induk anti-doping itu mendakwa yang dia enggan memberikan sampel ujian tahun lalu di Stadium East field.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak dimaklumkan dipilih untuk menjalani ujian dan hanya mengetahuinya apabila dituduh menolak untuk memberikan sampel selepas meninggalkan stadium.

"Secara jujurnya (JADCO) tidak pernah melakukan kerja mereka dengan baik kerana mereka sepatutnya memastikan orang yang dipilih melakukan ujian dadah tahu, dan mereka tidak berbuat begitu kepada saya," kata Hylton.

JADCO tidak memberikan maklum balas kepada permintaan Reuters untuk memberikan komen.

Reuters

Berita Harian X