Khamis, 9 March 2017 | 12:58am

Seluruh England: Vivian-Khe Wei mara pusingan kedua

BEREGU wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Seluruh England di Birmingham. - Foto NSTP
BEREGU wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Seluruh England di Birmingham. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Seluruh England di Birmingham, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas beregu nombor satu negara itu mengetepikan cabaran pasangan Thailand, Putitta Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung selama 78 minit.

Vivian-Khe Wei menunjukkan semangat juang tinggi apabila mereka yang tewas 18-21 di set pertama, bangkit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-11 di set kedua.

Pada aksi set penentuan, Vivian-Khe Wei beberapa kali ketinggalan namun berjaya bangkit sebelum memenangi perlawanan 21-17.

Ia adalah kemenangan keempat mereka ke atas pasangan Thailand berkenaan dalam tujuh pertemuan.

Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei berdepan tugas berat dalam misi mengesahkan slot ke suku akhir selepas ini apabila dijadual bertemu gandingan Korea Selatan yang juga pilihan ketiga, Jung Kyung Eun-Shin Seung Chan, pada aksi pusingan kedua, esok.

Berita Harian X