Sabtu, 4 March 2017 | 10:29am

Ronaldo terlepas aksi di Eibar selepas mengadu sakit

CRISTIANO Ronaldo berlatih sendirian, semalam selepas mengadu sakit dan tidak disenarai bagi aksi La Liga menentang Eibar, malam ini. - Foto Reuters
CRISTIANO Ronaldo berlatih sendirian, semalam selepas mengadu sakit dan tidak disenarai bagi aksi La Liga menentang Eibar, malam ini. - Foto Reuters

MADRID: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo berlatih sendirian, semalam selepas mengadu sakit dan tidak disenarai bagi aksi La Liga menentang Eibar, malam ini.

"Dia merasa sesuatu, namun tiada yang serius. Dia tidak berlatih bersama kami pada pagi ini," kata jurulatih Real, Zinedine Zidane ketika sidang media menjelang perlawanan, semalam.

Tiada nama Ronaldo dalam senarai pemain yang disiarkan di laman web kelab itu selain bintang Wales, Gareth Bale yang digantung dua perlawanan susulan kad merah yang diterimanya ketika bertemu Las Palmas, pertengahan minggu ini.

Ketika keseluruhan skuad gergasi Galaticos itu menjalani latihan tempo tinggi, semalam, Ronaldo hanya berlari bersendirian.

Zidane berpeluang merehatkan Ronaldo menjelang pertemuan penting aksi timbal balik peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara bertemu Napoli, Selasa ini.

"Seperti kamu tahu, semua perlawanan adalah penting namun apa yang paling utama ialah pemain tidak apa-apa," kata Zidane.

Keputusan seri 3-3 di laman sendiri kepada Las Palmas, Khamis lalu menyaksikan Real kehilangan tempat di puncak La Liga yang dihuninya sejak Oktober lalu.

Ronaldo pada perlawanan itu sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol lewat bagi menyelamatkan mata buat Real yang ketika itu di ambang kekalahan.

Real ketika ini ketinggalan satu mata di belakang Barcelona namun memiliki kelebihan satu perlawanan. - AFP

Berita Harian X